Skip to main content

Wanita berpantang sendiri?. Jika dulu ini situasi yang tidak diingini oleh wanita yang baru bersalin. Walaupun mempunyai ibu dan mertua untuk membantu, tetapi tidak sampai hati untuk meminta tolong. Kini, lebih ramai wanita yang memilih berpantang di rumah sendiri dan mereka mampu melakukannya dari mula bersalin sampailah hari ke-44.

Semasa tempoh berpantang sendiri, para ibu yang baru bersalin cenderung untuk menjadi ‘malas’ kerana tiada sesiapa yang memantau. Walaupun sekarang tidak mempunyai apa-apa kesan, tetapi ia akan menimbulkan kemudaratan pada masa akan datang. Ini perkara yang perlu diamalkan oleh para ibu semasa tempoh berpantang:

5 cara wanita berpantang sendiri!

1. BERTUNGKU DAN BERURUT

Walaupun berpantang sendiri, anda perlu membuat perancangan awal supaya anda mampu mengurus keluarga di samping menjaga kesihatan diri dan bayi. Sewaktu berpantang, badan para ibu akan selalu sakit dan tidak selesa. Antara amalan yang masih di amalkan adalah berurut dan bertungku.  Amalan begini yang dikatakan melecehkan ia akan mempercepatkan proses pemulihan luaran dan dalaman para ibu berpantang. Tidak perlu susah-susah, para ibu yang berpantang sendiri hanya perlu mengambil perkhidmatan bidan awal sebelum bersalin agar anda mempunyai sedikit masa berkualiti untuk diri sendiri tanpa menyusahkan ibu atau mak mertua.  Mereka juga boleh memberi khidmat nasihat jika anda mempunyai masalah berkaitan kesihatan semasa dalam pantang.

2. BERBENGKUNG

Memakai bengkung adalah salah satu perkara WAJIB yang diamalkan oleh ibu-ibu selepas bersalin.  Bagi yang bakal berpantang sendiri, bengkung bukan saja untuk mengembalikan kelangsingan, tetapi ia juga dapat mengecutkan rahim yang bengkak serta membantu menetapkan kedudukan peranakan daripada ‘jatuh’. Tiada alasan lagi untuk para ibu berpantang tidak memakai bengkung, sekarang sudah terdapat pelbagai jenis bengkung moden yang dijual di pasaran. Mudah saja. Jadi, jangan malas ye para ibu!.

3. MEMAKAI STOKIN

Pemakaian stokin sewaktu berpantang sering kali dipandang remeh oleh para ibu berpantang. Alasannya panas, rimas dan tak selesa. Setiap pergerakan yang dilakukan, bagaikan ada je yang tak kena. Dah la tak cukup tidur. Jika menurut orang tua-tua, pemakaian stokin perlu dipakai setiap masa bagi mengekalkan haba dalam badan dan mengelakkan ibu masuk angin. Malah, kajian saintifik juga menunjukkan banyak manfaatnya untuk kesihatan. Oleh itu,  para ibu jangan mengeluh kerana perlu memakai stokin, harap bersabar kerana ini semua adalah untuk kebaikan dan kesihatan ibu juga.

4. MAKAN MAKANAN BERPANTANG

Ramai ibu berpantang payah untuk menahan nafsu makan dan bosan dengan menu yang sama setiap hari, tidak kurang juga yang mengelak daripada berpantang. Kini, banyak menu berpantang yang menarik dan tidak membosankan telah terpampang di laman web masakan. Jadi, para ibu berpantang sangat mudah untuk mendapatkan menu makanan yang ‘simple’. Kalau malas sangat, telefon saja untuk tempahan. Ramai bidan yang menyediakan perkhidmatan begini. Tak perlu pening kepala lagi!

5. PENGAMBILAN AIR

Air suam mampu melancarkan peredaran darah dan mempercepatkan penyembuhan luka. Oleh itu, para ibu berpantang digalakkan minum air suam yang mencukupi bagi mengelakkan kita terhidrat. Jika para ibu berpantang kekurangan air ia akan mengakibatkan penghasilan susu badan boleh terjejas dan lebih memburukkan keadaan lagi apabila ia boleh menyebabkan sembelit. Memang perit sembelit semasa berpantang ini!. Jadi, jangan takut untuk minum air, elakkan minum minuman berais dan juga manis kerana ia sememangnya tidak menyihatkan.

 

 link Website link Website